Skor kredit yang baik meningkatkan peluang untuk pinjaman atau permohonan kredit anda diluluskan. Walaubagaimanapun, patuhi peraturan berikut sebelum
Anda Pilih Untuk Meminjam
Buat pinjaman untuk tujuan produktif sahaja atau jika anda benar-benar perlukannya
Pinjam mengikut kemampuan anda
Anda mempunyai tanggungjawab moral untuk membayar balik hutang anda
Pinjamlah daripada Pemberi Kredit Yang Dikawal Selia
Institusi Kewangan Berlesen
Bank komersil yang dilesenkan untuk memberikan produk dan perkhidmatan kewangan kepada orang awam. Sila dapatkan senarai institusi kewangan berlesen di sini.
Koperasi
Koperasi yang dikawal selia di bawah penyeliaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC). Sila lawati laman web SKM di www.skm.gov.mybagi senarang koperasi berlesen.
Peminjam Wang Berlesen
Terdapat peminjam wang yang dilesenkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang memberikan pinjaman kepada orang awam. Mereka tidak boleh menerima deposit dan kadar faedah pinjaman mereka biasanya lebih tinggi.
Peminjam Wang Tidak Berlesen
Juga terdapat peminjam wang tidak berlesen, yang lebih kerap dipanggil lintah darat, ceti haram atau Ah Long . Operasi mereka tidak sah. Anda dinasihatkan agar tidak meminjam wang daripada Ah Long.
Kejayaan permohonan pinjaman anda bergantung kepada perkara berikut

Tujuan Pinjaman
- Tujuan memohon pinjaman akan menentukan jenis produk kewangan yang akan diberikan.
- Kadar faedah dan tempoh perkhidmatan pinjaman ditentukan berdasarkan jenis pinjaman yang dipohon.

Keupayaan untuk bayar balik
- Jumlah pinjaman akan ditentukan berdasarkan keupayaan pemohon untuk membayar balik pinjamannya.
- Keupayaan untuk membayar balik pinjaman ditetapkan berdasarkan jumlah lebihan pendapatan dan kestabilan aliran wang pemohon.
- Nisbah hutang kepada pendapatan juga digunakan sebagai penunjuk dalam menentukan keupayaan pemohon untuk membayar balik.

Sejarah Pembayaran Balik
- Rekod bayaran bagi pinjaman sebelumnya juga akan dinilaikan oleh pihak bank.
Seperti yang dinasihatkan oleh Biro Kredit Malaysia, anda boleh membina sejarah kredit yang baik dengan:
- Membayar bil tepat pada masanya
- Menggunakan hanya beberapa peratus daripada kredit anda
- Elakkan memohon terlalu banyak kredit pada masa yang sama
- Teliti laporan kredit setiap tahun
- Mengambil kira aliran wang apabila mempertimbangkan pinjaman
- Untuk membina kredit di CCRIS, anda perlu memohon untuk mendapatkan pinjaman atau kredit