Carian yang Disyorkan
Klik di sini untuk carian pantas
Diterbitkan pada Jan 19, 2023
Pengguna Bijak di Era ‘Normal Baharu' Pasca Pandemik
Oleh Mohammad Mafrukhin Mokhtar, AKPK
Peralihan tingkah laku pengguna kepada norma baharu semasa pandemik
Daripada menguruskan krisis COVID-19 sehinggalah membuka semula ekonomi, jalan pemulihan Malaysia dipenuhi dengan pelbagai cabaran. Pandemik ini telah memberi impak yang mendalam terhadap tingkah laku pengguna—daripada membeli-belah barangan runcit dan membeli barangan keperluan termasuklah cara melakukan kerja. Perubahan landskap tingkah laku pengguna memberikan satu lagi cabaran. Walaupun peralihan pantas daripada platform membeli-belah dalam talian menjadi petanda baik bagi ekonomi digital, ia juga mempunyai kesan penting terhadap pengurusan kewangan dan daya tahan pengguna.
Tinjauan AKPK terhadap lebih dua (2) ribu pengguna di seluruh Malaysia semasa pandemik telah menunjukkan perubahan dalam tingkah laku berbelanja. Secara keseluruhan, tinjauan mendapati majoriti pengguna (85%) mengatakan bahawa mereka akan meneruskan perbelanjaan normal baharu ini walaupun selepas pandemik berakhir. Lebih separuh daripada pengguna (60%) didapati telah membuat pembelian dalam talian beberapa kali dalam tempoh sebulan. Terdapat juga peningkatan dalam jumlah yang dibelanjakan dalam talian, iaitu pembeli yang membelanjakan sekurang-kurangnya RM200 meningkat jumlah mereka daripada 16% kepada 30%.
Secara tidak langsung, pandemik ini telah memberi pengajaran yang baik
Pada ketika negara sedang membendung penularan COVID-19, seiring dengan pelaksanaan beberapa langkah pencegahan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), secara tidak sengaja, keadaan itu telah membawa kepada corak tingkah laku berbelanja yang lebih baik dalam kalangan pengguna. Dalam tinjauan AKPK, 69% pengguna bersetuju bahawa tabiat berbelanja mereka sememangnya bertambah baik dan 77% daripada mereka bermotivasi untuk memperbaiki tingkah laku kewangan mereka.
Semasa pandemik, pengguna mengurangkan perbelanjaan keseluruhan mereka sebanyak kira-kira 11%, dan mereka yang bekerja sendiri dan berpendapatan tinggi mencatatkan pelarasan perbelanjaan tertinggi. Dua pemotongan perbelanjaan budi bicara terbesar adalah untuk 'restoran dan hotel' (-56%), diikuti oleh 'perkhidmatan rekreasi dan budaya' (-52%). Pemotongan ini datang seiring dengan pelarasan belanjawan untuk memudahkan pengaturan kerja dan belajar dari rumah.
Pandemik juga telah menunjukkan bahawa pengguna telah menjadi lebih inovatif dalam menjana pendapatan tambahan, dan ini dapat dilihat melalui peningkatan dalam bilangan perniagaan yang beroperasi dalam talian. Ini benar-benar perubahan yang sangat positif dalam tingkah laku dan, sebenarnya, disyorkan untuk membina daya tahan kewangan dalam kalangan pengguna.
Pengurusan perbelanjaan yang baik menjamin kesejahteraan kewangan
Dengan kemunculan pelbagai aplikasi dan platform yang membolehkan perbelanjaan yang lancar untuk pengguna, pengurusan perbelanjaan peribadi yang berhemat adalah penting untuk melindungi mereka daripada berbelanja berlebihan. Kajian yang sama oleh AKPK mendapati pengguna yang mempunyai pelan perbelanjaan yang baik mampu membuat penjimatan secara konsisten. Pelan perbelanjaan yang teliti bermula daripada menilai kemampuan, menyediakan bajet, berbelanja mengikut bajet, dan kemudian, merekodkan semua perbelanjaan. Secara purata, nisbah simpanan bagi mereka yang mengikut rancangan perbelanjaan adalah hampir dua kali ganda berbanding dengan mereka yang tidak. Selain itu, pelan perbelanjaan juga membantu untuk mencegah pengguna daripada membuat pembelian kompulsif, dan pada masa yang sama, membimbing mereka ke arah perbelanjaan berhemat.
Tiga (3) daripada 10 pengguna dikategorikan sebagai pembelanja kompulsif dalam talian
Perbelanjaan dalam talian yang tidak dirancang dan tidak terkawal (dirujuk sebagai kompulsif) memberi kesan negatif kepada kedudukan kewangan pengguna. Kajian itu mendedahkan bahawa tiga (3) daripada 10 pengguna mempunyai tingkah laku berbelanja yang kompulsif, dan golongan belia lebih cenderung kepada tingkah laku tersebut. Selain itu, golongan wanita, orang bujang dan mereka yang bekerja di sektor swasta juga didapati mempunyai kecenderungan yang sama, iaitu membeli secara kompulsif, berbanding dengan profil lain. Berdasarkan kajian, pembeli yang kompulsif mempunyai tahap kesejahteraan kewangan yang lebih rendah berbanding dengan pembeli yang berhemat.
Kemunculan platform BNPL pada waktu normal baharu
Terdapat peningkatan dalam penggunaan platform Beli Sekarang Bayar Kemudian atau Buy Now Pay Later (BNPL) ketika para pengguna Malaysia menyesuaikan diri dengan peralihan daripada pembelian luar talian kepada pembelian dalam talian. BNPL membenarkan pengguna membeli dan membayar secara ansuran dalam talian. Walaupun platform yang menawarkan perkhidmatan BNPL tidak mengenakan sebarang faedah, pengguna masih akan dikenakan caj penalti lewat jika tidak membuat bayaran seperti yang ditetapkan. Secara ringkasnya, kelebihan dan kekurangan BNPL adalah seperti berikut:
Kelebihan:
Kelemahan:
Sumber: Jaringan Pendidikan Kewangan @ Financial Education Network (FEN)
Perbelanjaan berhemat sambil memanfaatkan teknologi pengguna
Dengan peningkatan bilangan platform membeli-belah dalam talian dan kemunculan skim pembelian seperti BNPL, berikut ialah beberapa panduan mudah untuk pengguna berhemat semasa berbelanja dalam era normal baharu, dan seterusnya, meningkatkan kapasiti kewangan mereka pada masa hadapan:
Sumber: AKPK (2022) - Rebuilding Financial Resilience: What Consumers Can Learn from the Pandemic
Berita Terkini
Golongan belia kini menempuh kehidupan yang semakin mencabar. Bila tiba masanya, mereka perlu menguasai masa depan dan kewangan mereka. Pendidikan kewangan bagi peringkat pengajian tinggi tertumpu kepada mereka yang berumur 18 hingga 25 tahun, yang sedang melalui atau menamatkan pengajian tinggi. Kami memupuk kemahiran kewangan yang betul semasa mereka masih muda demi menguatkan asas pengurusan kewangan bagi masa depan. Modul ini tertumpu kepada pengurusan aliran tunai, kepentingan wang simpanan dan belanjawan, perbankan Internet dan mana-mana topik yang sesuai untuk golongan ini.
Golongan Permulaan Pekerjaan terdiri daripada mereka yang berusia di antara 20 hingga 30 tahun, terutamanya mereka yang baru sahaja menceburi alam pekerjaan. Pendidikan kewangan amat penting bagi golongan ini kerana kini mereka lebih perlu berdikari dalam menguruskan kewangan sendiri. Mereka mungkin ingin membeli kereta secepat mungkin sungguhpun hajat ini merupakan kehendak dan bukannya keperluan. Modul Permulaan Pekerjaan kami menumpukan kepada istilah-istilah asas yang perlu difahami dan mengenai kepentingan pinjaman produktif dalam meningkatkan nilai bersih pada masa akan datang. Modul ini turut memupuk budaya mengurus hutang dengan bijaksana. Modul ini juga akan memperkenalkan asas pelaburan dan kepentingan insurans untuk perlindungan.
Modul ini tertumpu kepada mereka yang ingin mula mendirikan rumahtangga. Golongan ini menghampiri detik kehidupan yang penuh dengan pencapaian penting seperti perkahwinan, mendapat cahaya mata dan memiliki rumah baharu. Modul ini direka bagi mereka di antara umur 30 hingga 40 tahun. Tumpuan modul ini ialah ke atas kaedah melangsaikan pinjaman dan mengurangkan hutang supaya mereka dapat menyediakan diri bagi persaraan dan bersedia untuk menghadapi ketidakpastian hidup. Modul ini memperkenalkan jenis-jenis perlindungan yang sedia ada agar mereka memahami jenis-jenis polisi yang bersesuaian dan mampu milik bagi keluarga mereka. Usaha memperbanyakkan pelaburan juga dititikberatkan untuk memberikan pendapatan tambahan selepas bersara.
Perubahan daripada alam pekerjaan kepada persaraan sepenuhnya melibatkan banyak keputusan sukar. Ini termasuk perkara seperti keperluan pendapatan, pengurusan harta persaraan, pencen, program persaraan kebangsaan dan juga sama ada seseorang itu ingin bersara secara berperingkat atau secara mendadak. Sesetengah daripada keputusan yang perlu dibuat pada masa ini adalah kekal dan mempunyai kesan jangkamasa panjang ke atas kesejahteraan ekonomi fasa persaraan. Untuk membuat pilihan yang lebih baik, mereka memerlukan pendidikan kewangan dan pemahaman terperinci tentang pelan persaraan mereka. Oleh itu, modul pra-persaraan kami membimbing mereka supaya lebih bersedia untuk bersara dengan membuat perancangan dan memanfaatkan pelaburan mereka. Mereka juga boleh menyemak semula portfolio mereka di samping meneruskan polisi insurans dan melangsaikan hutang untuk menambahkan lagi simpanan.
Kini, anda sudah bersara. Apakah rancangan kewangan anda? Pada hari ini, golongan pesara mempunyai jangka hayat yang lebih panjang. Oleh itu, golongan ini harus memiliki semua sumber kewangan yang sepatutnya supaya dapat meneruskan kehidupan dengan selesa dan bahagia, terutamanya jika inginkan ketenangan. Menyimpan harta dan merancang agihannya sangat penting pada peringkat ini. Namun begitu, kecelikan dan pendidikan kewangan tidak berakhir apabila anda bersara. Sebaliknya, pada saat ini, pengurusan kewangan dan persiapan bagi semua kemungkinan menjadi lebih penting. Modul pasca-persaraan ini disasarkan kepada mereka yang beralih ke peringkat persaraan atau dalam peringkat awal persaraan.