Carian yang Disyorkan
Klik di sini untuk carian pantas
Diterbitkan pada Feb 17, 2023
KUALA LUMPUR: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK) memaklumkan sebanyak 39 institusi pengajian tinggi (IPT) telah menyediakan modul berkredit melalui subjek Pengurusan Kewangan Peribadi (PFM) dan berharap ia dapat diwajibkan di seluruh negara.
Ketua Jabatan Pendidikan Kewangan Isi Rumah AKPK, Nirmala M Supramaniam, berkata pelaksanaan kursus ini wajar bagi membendung masalah kewangan yang dihadapi oleh masyarakat.
"Statistik yang diperoleh AKPK sehingga Disember 2022 menunjukkan 41.8 peratus mereka berusia 30 hingga 40 tahun terbabit dengan masalah kewangan berpunca daripada tiada pengetahuan tentang pengurusan kewangan yang betul.
"Sekiranya ilmu pengurusan kewangan ini telah diberikan sewaktu di pengajian tinggi sedikit sebanyak boleh memberi kesedaran awal seterusnya membantu mereka merancang hutang dengan baik," katanya ketika ditemui Bernama.
Nirmala berkata pengurusan kewangan atau literasi kewangan ini sebenarnya adalah ilmu kemahiran insaniah dan sebagai pengguna kewangan sudah pasti berdepan dengan pelbagai cabaran kewangan.
"Hal ini termasuk bagaimana belia boleh terdedah kepada kesilapan membuat keputusan kewangan yang boleh membawa mereka kepada punca muflis seperti terjerat dengan penipuan kewangan, pelaburan skim cepat kaya, pinjaman tidak produktif.
"Oleh itu, program-program literasi kewangan harus diperluas bukan sahaja bagi mereka yang mengambil subjek berkaitan, namun harus diwajibkan kepada semua pelajar," katanya.
Beliau berkata setakat ini pihaknya menerima maklum balas positif daripada para pelajar dan program kewangan ini turut mendekati golongan belia dalam komuniti dengan pendekatan lebih holistik.
"Antara program yang dijalankan adalah pergaulan, sumbang saran, pembabitan pakar dalam industri. Kesannya mereka mempunyai pengetahuan pengurusan dan ke arah tingkah laku kewangan yang baik," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata golongan belia disarankan untuk meminati dan mendalami ilmu pengurusan kewangan bagi memupuk tingkah laku dan tabiat kewangan yang baik.
"Penerapan ilmu kewangan akan memberi kesedaran, pendedahan dan galakan kepada individu mengenai pengurusan kewangan yang lebih baik untuk membolehkan mereka mengurus pendapatan, perbelanjaan dan pinjaman dengan cekap.
"Khususnya sebelum membuat komitmen kewangan bagi mengelakkan masalah kewangan pada masa akan datang. Sesungguhnya mencegah itu lebih baik dari mengubati," katanya.
Katanya, golongan belia dinasihatkan untuk mengambil peluang mendapatkan khidmat nasihat kewangan ditawarkan oleh AKPK atau institusi sah yang lain.
Menurut beliau, sejak penubuhan AKPK hingga Disember 2022, sebanyak 1.2 juta individu telah menerima khidmat nasihat daripada pakar di agensi itu.
"Selain itu, dengan tempoh maksimum 10 tahun penyertaan Program Pengurusan Kredit (PPK), kira-kira lebih 400,000 individu telah mendaftar ke program ini dan sekitar RM2.4 bilion telah diselesaikan melalui PPK," katanya. – BERNAMA
Berita Terkini
Golongan belia kini menempuh kehidupan yang semakin mencabar. Bila tiba masanya, mereka perlu menguasai masa depan dan kewangan mereka. Pendidikan kewangan bagi peringkat pengajian tinggi tertumpu kepada mereka yang berumur 18 hingga 25 tahun, yang sedang melalui atau menamatkan pengajian tinggi. Kami memupuk kemahiran kewangan yang betul semasa mereka masih muda demi menguatkan asas pengurusan kewangan bagi masa depan. Modul ini tertumpu kepada pengurusan aliran tunai, kepentingan wang simpanan dan belanjawan, perbankan Internet dan mana-mana topik yang sesuai untuk golongan ini.
Golongan Permulaan Pekerjaan terdiri daripada mereka yang berusia di antara 20 hingga 30 tahun, terutamanya mereka yang baru sahaja menceburi alam pekerjaan. Pendidikan kewangan amat penting bagi golongan ini kerana kini mereka lebih perlu berdikari dalam menguruskan kewangan sendiri. Mereka mungkin ingin membeli kereta secepat mungkin sungguhpun hajat ini merupakan kehendak dan bukannya keperluan. Modul Permulaan Pekerjaan kami menumpukan kepada istilah-istilah asas yang perlu difahami dan mengenai kepentingan pinjaman produktif dalam meningkatkan nilai bersih pada masa akan datang. Modul ini turut memupuk budaya mengurus hutang dengan bijaksana. Modul ini juga akan memperkenalkan asas pelaburan dan kepentingan insurans untuk perlindungan.
Modul ini tertumpu kepada mereka yang ingin mula mendirikan rumahtangga. Golongan ini menghampiri detik kehidupan yang penuh dengan pencapaian penting seperti perkahwinan, mendapat cahaya mata dan memiliki rumah baharu. Modul ini direka bagi mereka di antara umur 30 hingga 40 tahun. Tumpuan modul ini ialah ke atas kaedah melangsaikan pinjaman dan mengurangkan hutang supaya mereka dapat menyediakan diri bagi persaraan dan bersedia untuk menghadapi ketidakpastian hidup. Modul ini memperkenalkan jenis-jenis perlindungan yang sedia ada agar mereka memahami jenis-jenis polisi yang bersesuaian dan mampu milik bagi keluarga mereka. Usaha memperbanyakkan pelaburan juga dititikberatkan untuk memberikan pendapatan tambahan selepas bersara.
Perubahan daripada alam pekerjaan kepada persaraan sepenuhnya melibatkan banyak keputusan sukar. Ini termasuk perkara seperti keperluan pendapatan, pengurusan harta persaraan, pencen, program persaraan kebangsaan dan juga sama ada seseorang itu ingin bersara secara berperingkat atau secara mendadak. Sesetengah daripada keputusan yang perlu dibuat pada masa ini adalah kekal dan mempunyai kesan jangkamasa panjang ke atas kesejahteraan ekonomi fasa persaraan. Untuk membuat pilihan yang lebih baik, mereka memerlukan pendidikan kewangan dan pemahaman terperinci tentang pelan persaraan mereka. Oleh itu, modul pra-persaraan kami membimbing mereka supaya lebih bersedia untuk bersara dengan membuat perancangan dan memanfaatkan pelaburan mereka. Mereka juga boleh menyemak semula portfolio mereka di samping meneruskan polisi insurans dan melangsaikan hutang untuk menambahkan lagi simpanan.
Kini, anda sudah bersara. Apakah rancangan kewangan anda? Pada hari ini, golongan pesara mempunyai jangka hayat yang lebih panjang. Oleh itu, golongan ini harus memiliki semua sumber kewangan yang sepatutnya supaya dapat meneruskan kehidupan dengan selesa dan bahagia, terutamanya jika inginkan ketenangan. Menyimpan harta dan merancang agihannya sangat penting pada peringkat ini. Namun begitu, kecelikan dan pendidikan kewangan tidak berakhir apabila anda bersara. Sebaliknya, pada saat ini, pengurusan kewangan dan persiapan bagi semua kemungkinan menjadi lebih penting. Modul pasca-persaraan ini disasarkan kepada mereka yang beralih ke peringkat persaraan atau dalam peringkat awal persaraan.