Carian yang Disyorkan
Klik di sini untuk carian pantas
Diterbitkan pada Aug 18, 2023
SUBANG JAYA - Yayasan Selangor bersama Yayasan TM dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) di sebuah hotel di sini pada Selasa.
Yayasan Selangor dalam kenyataan memaklumkan kerjasama strategik antara Yayasan TM dan AKPK itu bagi mengukuhkan lagi perkhidmatan pendidikan kepada rakyat Selangor khususnya golongan pelajar.
Menurutnya, MoU juga merupakan inisiatif Yayasan Selangor, Yayasan TM dan AKPK dalam mewujudkan usahasama untuk memberi dana pembiayaan pendidikan meliputi program penajaan dan latihan khusus buat pelajar kurang mampu tetapi miliki potensi tinggi.
"Antara bentuk kerjasama antara Yayasan Selangor dan Yayasan TM adalah penyediaan data pelajar anak Selangor yang layak bagi program Ijazah Sarjana Muda.
"Selain itu, juga mengurus dan memantau pencapaian akademik para pelajar tajaan serta mengurus dan menyelia dana pembiayaan pendidikan oleh Yayasan TM," kata kenyataan itu pada Selasa.
Terdahulu, majlis menandatangani MoU tersebut disaksikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor, Eddie Ahmad Khodzali.
Tambahnya, jumlah pembiayaan pendidikan disalur Yayasan TM adalah berjumlah RM600,000 untuk tempoh lima tahun merangkumi elaun sara hidup, insurans, elaun komputer dan elaun-elaun lain yang berkaitan.
Sementara itu, antara bentuk kerjasama antara Yayasan Selangor dan AKPK pula adalah penyediaan peserta iaitu pelajar atau kakitangan Yayasan Selangor dalam penganjuran sesi perkongsian, bengkel, program atau seminar pendidikan kewangan berteraskan modul pembelajaran perusahaan mikro kecil dan sederhana serta latihan modul asas keusahawanan.
Sumber: Sinar Harian
Berita Terkini
Golongan belia kini menempuh kehidupan yang semakin mencabar. Bila tiba masanya, mereka perlu menguasai masa depan dan kewangan mereka. Pendidikan kewangan bagi peringkat pengajian tinggi tertumpu kepada mereka yang berumur 18 hingga 25 tahun, yang sedang melalui atau menamatkan pengajian tinggi. Kami memupuk kemahiran kewangan yang betul semasa mereka masih muda demi menguatkan asas pengurusan kewangan bagi masa depan. Modul ini tertumpu kepada pengurusan aliran tunai, kepentingan wang simpanan dan belanjawan, perbankan Internet dan mana-mana topik yang sesuai untuk golongan ini.
Golongan Permulaan Pekerjaan terdiri daripada mereka yang berusia di antara 20 hingga 30 tahun, terutamanya mereka yang baru sahaja menceburi alam pekerjaan. Pendidikan kewangan amat penting bagi golongan ini kerana kini mereka lebih perlu berdikari dalam menguruskan kewangan sendiri. Mereka mungkin ingin membeli kereta secepat mungkin sungguhpun hajat ini merupakan kehendak dan bukannya keperluan. Modul Permulaan Pekerjaan kami menumpukan kepada istilah-istilah asas yang perlu difahami dan mengenai kepentingan pinjaman produktif dalam meningkatkan nilai bersih pada masa akan datang. Modul ini turut memupuk budaya mengurus hutang dengan bijaksana. Modul ini juga akan memperkenalkan asas pelaburan dan kepentingan insurans untuk perlindungan.
Modul ini tertumpu kepada mereka yang ingin mula mendirikan rumahtangga. Golongan ini menghampiri detik kehidupan yang penuh dengan pencapaian penting seperti perkahwinan, mendapat cahaya mata dan memiliki rumah baharu. Modul ini direka bagi mereka di antara umur 30 hingga 40 tahun. Tumpuan modul ini ialah ke atas kaedah melangsaikan pinjaman dan mengurangkan hutang supaya mereka dapat menyediakan diri bagi persaraan dan bersedia untuk menghadapi ketidakpastian hidup. Modul ini memperkenalkan jenis-jenis perlindungan yang sedia ada agar mereka memahami jenis-jenis polisi yang bersesuaian dan mampu milik bagi keluarga mereka. Usaha memperbanyakkan pelaburan juga dititikberatkan untuk memberikan pendapatan tambahan selepas bersara.
Perubahan daripada alam pekerjaan kepada persaraan sepenuhnya melibatkan banyak keputusan sukar. Ini termasuk perkara seperti keperluan pendapatan, pengurusan harta persaraan, pencen, program persaraan kebangsaan dan juga sama ada seseorang itu ingin bersara secara berperingkat atau secara mendadak. Sesetengah daripada keputusan yang perlu dibuat pada masa ini adalah kekal dan mempunyai kesan jangkamasa panjang ke atas kesejahteraan ekonomi fasa persaraan. Untuk membuat pilihan yang lebih baik, mereka memerlukan pendidikan kewangan dan pemahaman terperinci tentang pelan persaraan mereka. Oleh itu, modul pra-persaraan kami membimbing mereka supaya lebih bersedia untuk bersara dengan membuat perancangan dan memanfaatkan pelaburan mereka. Mereka juga boleh menyemak semula portfolio mereka di samping meneruskan polisi insurans dan melangsaikan hutang untuk menambahkan lagi simpanan.
Kini, anda sudah bersara. Apakah rancangan kewangan anda? Pada hari ini, golongan pesara mempunyai jangka hayat yang lebih panjang. Oleh itu, golongan ini harus memiliki semua sumber kewangan yang sepatutnya supaya dapat meneruskan kehidupan dengan selesa dan bahagia, terutamanya jika inginkan ketenangan. Menyimpan harta dan merancang agihannya sangat penting pada peringkat ini. Namun begitu, kecelikan dan pendidikan kewangan tidak berakhir apabila anda bersara. Sebaliknya, pada saat ini, pengurusan kewangan dan persiapan bagi semua kemungkinan menjadi lebih penting. Modul pasca-persaraan ini disasarkan kepada mereka yang beralih ke peringkat persaraan atau dalam peringkat awal persaraan.