Langkau ke kandungan utama

Klik di sini untuk carian pantas

Aa

✕
  Individu  
Anda Kini di

Portal Sehenti AKPK

-a
+A

KBW berjaya sasar ilmu pengurusan wang

Diterbitkan pada Feb 27, 2022

SHAH ALAM- Golongan belia harus diberi pendedahan mengenai ilmu pengurusan wang kerana ia melibatkan masa depan mereka, kata Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata, ilmu pengurusan kewangan penting kerana ia membantu dalam membuat perancangan terutama berhadapan dengan situasi mencabar dan keadaan tidak dijangka.

“Ramai rakyat Malaysia bergelut untuk menguruskan wang mereka ini termasuk risiko diberhentikan kerja, menghidapi penyakit secara tiba-tiba dan sebagainya,” katanya ketika berucap dalam telesidang khas majlis penutup dan penyampaian hadiah Kembara Bijak Wang (KBW3.0) 2021 anjuran Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) dengan kerjasama Bank HSBC dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), baru-baru ini.

Telesidang khas itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir dan Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Stuart Milne.

Menurut beliau, KBW3.0 dilihat berjaya mengumpulkan pelajar universiti tempatan untuk bertanding dalam aktiviti berunsurkan pengurusan kewangan.

“KBW berpotensi membantu generasi muda negara memperoleh kemahiran mereka perlukan untuk terus berkembang maju dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompetitif,” katanya.

Mengulas lanjut Azaddin berkata, KBW3.0 menerima penyertaan daripada 6,334 penuntut dari 58 institut pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

"Penyertaan kali ini amat memberangsangkan. Semasa dilancarkan pada tahun 2019, 4,000 mahasiswa menyertainya dan jumlahnya meningkat kepada 5,634 pelajar dari 42 IPT merangkumi 22 kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di seluruh negara pada tahun 2020," katanya.

Menurutnya lagi, 500 penuntut layak menyertai cabaran terakhir iaitu pencarian harta karun maya yang menyaksikan Pasukan WeWantToBeBillionaire dari Universiti Malaya diumum merangkul hadiah utama program Kembara Bijak Wang (KBW3.0) 2021 sekaligus membawa pulang RM5,000.

✕
Belakang

Pengajian Tinggi


Golongan belia kini menempuh kehidupan yang semakin mencabar. Bila tiba masanya, mereka perlu menguasai masa depan dan kewangan mereka. Pendidikan kewangan bagi peringkat pengajian tinggi tertumpu kepada mereka yang berumur 18 hingga 25 tahun, yang sedang melalui atau menamatkan pengajian tinggi. Kami memupuk kemahiran kewangan yang betul semasa mereka masih muda demi menguatkan asas pengurusan kewangan bagi masa depan. Modul ini tertumpu kepada pengurusan aliran tunai, kepentingan wang simpanan dan belanjawan, perbankan Internet dan mana-mana topik yang sesuai untuk golongan ini.

Permulaan Pekerjaan


Golongan Permulaan Pekerjaan terdiri daripada mereka yang berusia di antara 20 hingga 30 tahun, terutamanya mereka yang baru sahaja menceburi alam pekerjaan. Pendidikan kewangan amat penting bagi golongan ini kerana kini mereka lebih perlu berdikari dalam menguruskan kewangan sendiri. Mereka mungkin ingin membeli kereta secepat mungkin sungguhpun hajat ini merupakan kehendak dan bukannya keperluan. Modul Permulaan Pekerjaan kami menumpukan kepada istilah-istilah asas yang perlu difahami dan mengenai kepentingan pinjaman produktif dalam meningkatkan nilai bersih pada masa akan datang. Modul ini turut memupuk budaya mengurus hutang dengan bijaksana. Modul ini juga akan memperkenalkan asas pelaburan dan kepentingan insurans untuk perlindungan.

Memulakan dan Membesarkan Keluarga

Modul ini tertumpu kepada mereka yang ingin mula mendirikan rumahtangga. Golongan ini menghampiri detik kehidupan yang penuh dengan pencapaian penting seperti perkahwinan, mendapat cahaya mata dan memiliki rumah baharu. Modul ini direka bagi mereka di antara umur 30 hingga 40 tahun. Tumpuan modul ini ialah ke atas kaedah melangsaikan pinjaman dan mengurangkan hutang supaya mereka dapat menyediakan diri bagi persaraan dan bersedia untuk menghadapi ketidakpastian hidup. Modul ini memperkenalkan jenis-jenis perlindungan yang sedia ada agar mereka memahami jenis-jenis polisi yang bersesuaian dan mampu milik bagi keluarga mereka. Usaha memperbanyakkan pelaburan juga dititikberatkan untuk memberikan pendapatan tambahan selepas bersara.

Memulakan dan Membesarkan Keluarga

Perubahan daripada alam pekerjaan kepada persaraan sepenuhnya melibatkan banyak keputusan sukar. Ini termasuk perkara seperti keperluan pendapatan, pengurusan harta persaraan, pencen, program persaraan kebangsaan dan juga sama ada seseorang itu ingin bersara secara berperingkat atau secara mendadak. Sesetengah daripada keputusan yang perlu dibuat pada masa ini adalah kekal dan mempunyai kesan jangkamasa panjang ke atas kesejahteraan ekonomi fasa persaraan. Untuk membuat pilihan yang lebih baik, mereka memerlukan pendidikan kewangan dan pemahaman terperinci tentang pelan persaraan mereka. Oleh itu, modul pra-persaraan kami membimbing mereka supaya lebih bersedia untuk bersara dengan membuat perancangan dan memanfaatkan pelaburan mereka. Mereka juga boleh menyemak semula portfolio mereka di samping meneruskan polisi insurans dan melangsaikan hutang untuk menambahkan lagi simpanan.



Pasca-Persaraan

Kini, anda sudah bersara. Apakah rancangan kewangan anda? Pada hari ini, golongan pesara mempunyai jangka hayat yang lebih panjang. Oleh itu, golongan ini harus memiliki semua sumber kewangan yang sepatutnya supaya dapat meneruskan kehidupan dengan selesa dan bahagia, terutamanya jika inginkan ketenangan. Menyimpan harta dan merancang agihannya sangat penting pada peringkat ini. Namun begitu, kecelikan dan pendidikan kewangan tidak berakhir apabila anda bersara. Sebaliknya, pada saat ini, pengurusan kewangan dan persiapan bagi semua kemungkinan menjadi lebih penting. Modul pasca-persaraan ini disasarkan kepada mereka yang beralih ke peringkat persaraan atau dalam peringkat awal persaraan.

Belia
Meningkat Dewasa
Dewasa
Meningkat Usia