Carian yang Disyorkan
Klik di sini untuk carian pantas
Diterbitkan pada Feb 7, 2019
KUALA LAMPUR :Lambakan tawaran pinjaman peribadi di media sosial tidak seharusnya menjadikan masyarakat buta terhadap kesan pinjaman yang akhirnya menjerat diri kepada masalah yang lebih besar.
Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan Korporat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azman Hasim berkata, kemudahan pinjaman yang ditawarkan secara dalam talian mempunyai kelebihan, namun ia perlu dilakukan dengan bijak dan bukannya mengikut kehendak.
“Sebelum buat pinjaman sama ada daripada bank ataupun syarikat kewangan berlesen, pastikan dahulu jenis pinjaman yang ingin dipohon itu sama ada ia keperluan mendesak atau sekadar memenuhi kehendak yang boleh ditangguhkan sehingga waktu yang lebih sesuai.
“Jika ia keperluan, apakah pilihan terbaik yang ada dan soalan paling penting, mampukah bakal peminjam membayarnya menggunakan gaji yang ada tanpa membebankan mereka?” katanya.
Mengulas lanjut Azman berkata, keupayaan bakal peminjam untuk membayar semula pinjaman itu mestilah mengikut formula jumlah keseluruhan hutang tidak melebihi 40 peratus daripada pendapatan bulanan.
“Maksudnya, selepas membayar semua hutang, mereka perlu mempunyai baki 60 peratus pendapatan termasuk 10 peratus sebagai simpanan barulah mampu menjalani kehidupan selesa.
“Di AKPK, kita mengalu-alukan orang ramai mendapatkan perkhidmatan kaunseling dan pengurusan kredit secara percuma.
Katanya, agensi itu tidak melantik orang tengah membantu masyarakat mendapatkan khidmat nasihat pengurusan kewangan, sebaliknya semua urusan di pejabat atau dalam talian seperti laman web dan talian khidmat AKPK 03-26167766.
Berita Terkini
Golongan belia kini menempuh kehidupan yang semakin mencabar. Bila tiba masanya, mereka perlu menguasai masa depan dan kewangan mereka. Pendidikan kewangan bagi peringkat pengajian tinggi tertumpu kepada mereka yang berumur 18 hingga 25 tahun, yang sedang melalui atau menamatkan pengajian tinggi. Kami memupuk kemahiran kewangan yang betul semasa mereka masih muda demi menguatkan asas pengurusan kewangan bagi masa depan. Modul ini tertumpu kepada pengurusan aliran tunai, kepentingan wang simpanan dan belanjawan, perbankan Internet dan mana-mana topik yang sesuai untuk golongan ini.
Golongan Permulaan Pekerjaan terdiri daripada mereka yang berusia di antara 20 hingga 30 tahun, terutamanya mereka yang baru sahaja menceburi alam pekerjaan. Pendidikan kewangan amat penting bagi golongan ini kerana kini mereka lebih perlu berdikari dalam menguruskan kewangan sendiri. Mereka mungkin ingin membeli kereta secepat mungkin sungguhpun hajat ini merupakan kehendak dan bukannya keperluan. Modul Permulaan Pekerjaan kami menumpukan kepada istilah-istilah asas yang perlu difahami dan mengenai kepentingan pinjaman produktif dalam meningkatkan nilai bersih pada masa akan datang. Modul ini turut memupuk budaya mengurus hutang dengan bijaksana. Modul ini juga akan memperkenalkan asas pelaburan dan kepentingan insurans untuk perlindungan.
Modul ini tertumpu kepada mereka yang ingin mula mendirikan rumahtangga. Golongan ini menghampiri detik kehidupan yang penuh dengan pencapaian penting seperti perkahwinan, mendapat cahaya mata dan memiliki rumah baharu. Modul ini direka bagi mereka di antara umur 30 hingga 40 tahun. Tumpuan modul ini ialah ke atas kaedah melangsaikan pinjaman dan mengurangkan hutang supaya mereka dapat menyediakan diri bagi persaraan dan bersedia untuk menghadapi ketidakpastian hidup. Modul ini memperkenalkan jenis-jenis perlindungan yang sedia ada agar mereka memahami jenis-jenis polisi yang bersesuaian dan mampu milik bagi keluarga mereka. Usaha memperbanyakkan pelaburan juga dititikberatkan untuk memberikan pendapatan tambahan selepas bersara.
Perubahan daripada alam pekerjaan kepada persaraan sepenuhnya melibatkan banyak keputusan sukar. Ini termasuk perkara seperti keperluan pendapatan, pengurusan harta persaraan, pencen, program persaraan kebangsaan dan juga sama ada seseorang itu ingin bersara secara berperingkat atau secara mendadak. Sesetengah daripada keputusan yang perlu dibuat pada masa ini adalah kekal dan mempunyai kesan jangkamasa panjang ke atas kesejahteraan ekonomi fasa persaraan. Untuk membuat pilihan yang lebih baik, mereka memerlukan pendidikan kewangan dan pemahaman terperinci tentang pelan persaraan mereka. Oleh itu, modul pra-persaraan kami membimbing mereka supaya lebih bersedia untuk bersara dengan membuat perancangan dan memanfaatkan pelaburan mereka. Mereka juga boleh menyemak semula portfolio mereka di samping meneruskan polisi insurans dan melangsaikan hutang untuk menambahkan lagi simpanan.
Kini, anda sudah bersara. Apakah rancangan kewangan anda? Pada hari ini, golongan pesara mempunyai jangka hayat yang lebih panjang. Oleh itu, golongan ini harus memiliki semua sumber kewangan yang sepatutnya supaya dapat meneruskan kehidupan dengan selesa dan bahagia, terutamanya jika inginkan ketenangan. Menyimpan harta dan merancang agihannya sangat penting pada peringkat ini. Namun begitu, kecelikan dan pendidikan kewangan tidak berakhir apabila anda bersara. Sebaliknya, pada saat ini, pengurusan kewangan dan persiapan bagi semua kemungkinan menjadi lebih penting. Modul pasca-persaraan ini disasarkan kepada mereka yang beralih ke peringkat persaraan atau dalam peringkat awal persaraan.