Langkau ke kandungan utama

Klik di sini untuk carian pantas

Aa

✕
  Individu  
Anda Kini di

Portal Sehenti AKPK

-a
+A

Daftar perniagaan anda untuk masa hadapan yang lebih cerah

Diterbitkan pada Dec 22, 2022

Pada April 2022, Malaysia memasuki fasa ’Peralihan ke Endemik’ yang melihat, antara lain, pembukaan semula sektor ekonomi. Fasa ini memberikan impak positif kepada usahawan di Malaysia dan memberikan semangat baru kapada para usahawan untuk membangunkan dan mengembangkan kembali perniagaan mereka, bak kata pepatah daripada Henry Ford, kegagalan ialah peluang untuk bermula semula dengan lebih bijak.

Menghampiri tahun baru 2023 yang bakal menjelang, perniagaan kecil dan sederhana dijangka sudah mula menapak dengan lebih yakin serta lebih bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan termasuk bencana banjir di penghujung tahun 2020.

Namun, masih ada kekangan tertentu yang dialami terutamanya oleh para peniaga kecil. Jika anda seorang peniaga kecil, pernahkah anda merasa seperti berikut?

“Kenapa perniagaan milik usahawan lain berjaya dapat bantuan, tapi kita tak dapat ya? Macam mana nak kembangkan perniagaan kalau macam ni!”

“Kenapa pelanggan tak yakin dengan jualan dan perkhidmatan kita?”

“Macam mana nak bagi keluarga yakin dengan perniagaan ini untuk diwariskan?”

Persoalan di atas tidak mustahil boleh berlaku lebih-lebih lagi sekiranya anda bukan seorang peniaga yang berdaftar. Jika anda belum mendaftarkan perniagaan, sekaranglah masa yang terbaik untuk mendaftarkan perniagaan anda menjadi sebuah entiti yang sah pada tahun 2023 nanti.

Sebagai peniaga yang berdaftar, anda mempunyai lebih banyak peluang dan kelebihan untuk membawa perniagaan anda maju ke hadapan. Menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), masih terdapat segelintir peniaga yang tidak mendaftarkan perniagaan mereka atas sebab-sebab tertentu seperti perniagaan yang dijalankan hanya secara kecil-kecilan, peniaga tidak tahu kewajipan untuk mendaftar perniagaan, dan lokasi pejabat SSM agak jauh dari kediaman peniaga. 

Namun, tahukah anda bahawa di bawah Akta Perniagaan 1956 dan Akta Syarikat 2016, semua perniagaan wajib didaftarkan, sama ada sepenuh masa ataupun separuh masa, dan semua perniagaan yang memperoleh keuntungan juga perlu didaftarkan di SSM. Sebagai seorang usahawan yang menginginkan kelangsungan dan kejayaan dalam perniagaan, anda perlu berusaha untuk menjadikan perniagaan anda sah di sisi undang-undang, dan seterusnya dikenali ramai. Perniagaan anda berpotensi untuk memperoleh pelbagai faedah sekiranya anda mendaftarkan perniagaan.

Berikut merupakan antara kebaikan sekiranya perniagaan didaftarkan:

  1. Perniagaan lebih diyakini
  • Setiap perniagaan pasti akan melibatkan dana atau modal, sama ada dari segi pinjaman daripada institusi kewangan, daripada pelabur ataupun sumber yang lain. Oleh itu, bagi meyakinkan mereka untuk meluluskan pinjaman atau melabur dalam perniagaan anda, adalah sangat penting untuk menjadikan perniagaan diperakui dan sah kewujudannya di sisi undang-undang. Perkara ini bukan sahaja dapat meyakinkan pelabur, malah pengguna juga akan  merasakan hak mereka sebagai pembeli lebih terjamin. Tambahan lagi, dengan mendaftarkan perniagaan, ia menunjukkan bahawa anda adalah usahawan yang berkredibiliti dan komited untuk berniaga. Pada masa yang sama, tindakan ini juga membuatkan para pelanggan berasa lebih yakin untuk berurusan dengan perniagaan yang dijalankan.

 

  1. Memudahkan penyaluran bantuan
  • Sekiranya perniagaan didaftarkan secara sah, ia juga akan memudahkan pihak kerajaan untuk mengenal pasti kewujudan perniagaan bagi menyalurkan bantuan, sama ada berbentuk kewangan mahupun latihan, sepertimana yang telah dilaksanakan sewaktu negara berada dalam fasa pandemik di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Hal ini kerana, perniagaan yang berdaftar layak untuk menerima dan menikmati pelbagai insentif pembiayaan dan latihan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Rakyat, MARA, TEKUN, CGC, SME Corp, PUNB dan lain-lain. Usahawan dan peniaga juga berpeluang menggunakan bantuan yang diberikan untuk meningkatkan dan mengembangkan perniagaan yang sedia ada ataupun perniagaan baharu.

 

  1. Menjalankan aktiviti perniagaan secara sah
  • Apabila perniagaan telah diperakui kewujudannya, pemilik dapat menjalankan aktiviti perniagaan secara sah dan bebas daripada risiko dikenakan denda sebanyak RM50,000 atau penjara dua (2) tahun. Perkara ini turut memudahkan pemilik untuk memohon lesen premis dan permit termasuk insurans untuk perniagaan mereka. Selain itu, dengan adanya dokumen rasmi seperti sijil perniagaan SSM, ia akan memudahkan pemilik peniagaan untuk membuka akaun bank bagi tujuan perniagaan, lalu memudahkan process permohonan pinjaman bank. Oleh itu, pemilik dapat menjalankan perniagaan tanpa ragu-ragu dan perniagaan akan kelihatan lebih profesional sebagai sebuah entiti perniagaan yang sah. Perniagaan yang didaftarkan juga lebih mudah untuk disemak oleh pelanggan dan agensi-agensi kerajaan bagi mendapatkan maklumat tepat dan terkini.

 

  1. Perniagaan boleh diwarisi
  • Dengan mendaftarkan perniagaan, kesemua aset atau harta, seperti jenama produk atau hasil perniagaan, yang dikumpul sepanjang perniagaan akan lebih mudah untuk diwarisi. Hal ini kerana, kesemua aset atau harta akan diletakkan di bawah nama pemilik perniagaan sekiranya ia telah didaftarkan. Jenama merupakan aset penting untuk sesebuah perniagaan. Sekiranya jenama perniagaan pemilik tidak didaftarkan, ia boleh  diguna, diciplak dan ditiru oleh individu atau syarikat lain. Selain itu,  ia juga akan menyukarkan proses untuk perniagaan diwariskan kepada pihak ketiga. Jenis-jenis perniagaan yang boleh didaftarkan dengan SSM ialah perniagaan milikan tunggal/perkongsian, syarikat dan perkongsian liabiliti terhad.

 

Selain daripada berdaftar dengan SSM, usahawan di negeri Sabah dan Sarawak boleh mendaftarkan perniagaan mereka dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).  Mulakan langkah pertama anda dengan mendaftarkan perniagaan agar menjadi sebuah entiti yang sah. Hentikan alasan, mulakan tindakan! Perniagaan yang dibina bukanlah untuk hari ini sahaja, malah, ia seharusnya menjadi dorongan kepada generasi usahawan yang akan datang. Paling kurang, jadikan nama perniagaan sebagai hak eksklusif anda sebelum terlambat.

Untuk panduan lanjut serta tip dan bantuan, usahawan boleh:

  1. Mengikuti video ringkas berkenaan pendaftaran perniagaan di pautan berikut: https://www.youtube.com/watch?v=Qo-pRixbGXs. Kepada usahawan yang belum mendaftar perniagaan dan merancang untuk mendaftar perniagaan, sila isikan soalan kaji selidik di pautan ini: https://power.akpk.org.my/RnP/Home/PublicSurvey/91?fbclid=IwAR0ICS_Vzx1U5bjUtj9Q75MD7bjZMXOEUDX43RdreOGObryfniBHf1VbemM.

 

  1. Mengikuti modul AKPK, ‘Daftar Perniagaan Dengan SSM’ untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang cara-cara untuk mendaftarkan perniagaan, fungsi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), faedah mendaftarkan perniagaan dan sebagainya. Untuk membuat tempahan bagi mengikuti webinar ini, sila layari https://obs.akpk.org.my/. Anda juga boleh layari power.akpk.org.my untuk mempelajari modul AKPK secara dalam talian.

 

  1. Mendapatkan khidmat nasihat kewangan AKPK secara PERCUMA jika memerlukan panduan pengurusan kewangan dengan  melayari tapak web AKPK di www.akpk.org.my dan mengklik tab Khidmat Nasihat Kewangan.

 

Ambil tindakan yang sewajarnya demi kelangsungan perniagaan anda dan masa depan yang lebih cerah.

 

Sumber/Rujukan:

  1. Laman web rasmi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Penasihat Perniagaan SSM: https://www.ssm.com.my/bm/Pages/Quick_Link/Penasihat-Perniagaan-SSM.aspx
  2. Laman Facebook rasmi SSM, Faedah Mendaftarkan Entiti Perniagaan di SSM: https://www.facebook.com/ssmofficialpage/posts/faedah-mendaftarkan-entiti-perniagaan-di-ssm-mendapatkan-entiti-yang-sah-di-sisi/982127055208031/
  3. Majalah Niaga (2019), Kelebihan Mendaftarkan Perniagaan: http://www.majalahniaga.com/8-kelebihan-mendaftarkan-perniagaan-dan-mempunyai-akaun-semasa-perniagaan.html

 

 

 

Mengenai AKPK - Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) ialah agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2006 untuk membantu individu mengawal keadaan kewangan mereka dan memperoleh ketenangan fikiran melalui penggunaan kredit yang bijak.

Dengan mandat ini, AKPK menawarkan perkhidmatan Pendidikan Kewangan kepada individu dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui Portal POWER! dan Pusat Sumber yang boleh diakses melalui tapak web AKPK untuk pelbagai modul dan bahan pembelajaran kewangan dalam talian.

AKPK turut menawarkan khidmat Nasihat Kewangan dan bantuan Pengurusan Kredit melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) untuk individu, dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) untuk PMKS, yang melibatkan pelan bayaran balik pinjaman yang dipersetujui oleh peminjam dan institusi kewangan terlibat. Layari mybijakkewangan.akpk.org.my untuk slot janji temu bersama Penasihat Kewangan AKPK.

Semua akses kepada sumber dan perkhidmatan AKPK, termasuk Portal POWER! dan Pusat Sumber, boleh didapati melalui tapak web AKPK di www.akpk.org.my.

Maklumat dan akses kepada perkhidmatan, perkongsian tip dan bahan pembelajaran AKPK boleh juga diperolehi daripada platform-platform media sosial rasmi @AKPKofficial.

Semua khidmat nasihat kewangan dan pengurusan kredit oleh AKPK adalah PERCUMA dan AKPK TIDAK MELANTIK EJEN ATAU PIHAK KETIGA untuk mewakilinya dalam apa jua urusan.

Berita Terkini

✕
Belakang

Pengajian Tinggi


Golongan belia kini menempuh kehidupan yang semakin mencabar. Bila tiba masanya, mereka perlu menguasai masa depan dan kewangan mereka. Pendidikan kewangan bagi peringkat pengajian tinggi tertumpu kepada mereka yang berumur 18 hingga 25 tahun, yang sedang melalui atau menamatkan pengajian tinggi. Kami memupuk kemahiran kewangan yang betul semasa mereka masih muda demi menguatkan asas pengurusan kewangan bagi masa depan. Modul ini tertumpu kepada pengurusan aliran tunai, kepentingan wang simpanan dan belanjawan, perbankan Internet dan mana-mana topik yang sesuai untuk golongan ini.

Permulaan Pekerjaan


Golongan Permulaan Pekerjaan terdiri daripada mereka yang berusia di antara 20 hingga 30 tahun, terutamanya mereka yang baru sahaja menceburi alam pekerjaan. Pendidikan kewangan amat penting bagi golongan ini kerana kini mereka lebih perlu berdikari dalam menguruskan kewangan sendiri. Mereka mungkin ingin membeli kereta secepat mungkin sungguhpun hajat ini merupakan kehendak dan bukannya keperluan. Modul Permulaan Pekerjaan kami menumpukan kepada istilah-istilah asas yang perlu difahami dan mengenai kepentingan pinjaman produktif dalam meningkatkan nilai bersih pada masa akan datang. Modul ini turut memupuk budaya mengurus hutang dengan bijaksana. Modul ini juga akan memperkenalkan asas pelaburan dan kepentingan insurans untuk perlindungan.

Memulakan dan Membesarkan Keluarga

Modul ini tertumpu kepada mereka yang ingin mula mendirikan rumahtangga. Golongan ini menghampiri detik kehidupan yang penuh dengan pencapaian penting seperti perkahwinan, mendapat cahaya mata dan memiliki rumah baharu. Modul ini direka bagi mereka di antara umur 30 hingga 40 tahun. Tumpuan modul ini ialah ke atas kaedah melangsaikan pinjaman dan mengurangkan hutang supaya mereka dapat menyediakan diri bagi persaraan dan bersedia untuk menghadapi ketidakpastian hidup. Modul ini memperkenalkan jenis-jenis perlindungan yang sedia ada agar mereka memahami jenis-jenis polisi yang bersesuaian dan mampu milik bagi keluarga mereka. Usaha memperbanyakkan pelaburan juga dititikberatkan untuk memberikan pendapatan tambahan selepas bersara.

Memulakan dan Membesarkan Keluarga

Perubahan daripada alam pekerjaan kepada persaraan sepenuhnya melibatkan banyak keputusan sukar. Ini termasuk perkara seperti keperluan pendapatan, pengurusan harta persaraan, pencen, program persaraan kebangsaan dan juga sama ada seseorang itu ingin bersara secara berperingkat atau secara mendadak. Sesetengah daripada keputusan yang perlu dibuat pada masa ini adalah kekal dan mempunyai kesan jangkamasa panjang ke atas kesejahteraan ekonomi fasa persaraan. Untuk membuat pilihan yang lebih baik, mereka memerlukan pendidikan kewangan dan pemahaman terperinci tentang pelan persaraan mereka. Oleh itu, modul pra-persaraan kami membimbing mereka supaya lebih bersedia untuk bersara dengan membuat perancangan dan memanfaatkan pelaburan mereka. Mereka juga boleh menyemak semula portfolio mereka di samping meneruskan polisi insurans dan melangsaikan hutang untuk menambahkan lagi simpanan.



Pasca-Persaraan

Kini, anda sudah bersara. Apakah rancangan kewangan anda? Pada hari ini, golongan pesara mempunyai jangka hayat yang lebih panjang. Oleh itu, golongan ini harus memiliki semua sumber kewangan yang sepatutnya supaya dapat meneruskan kehidupan dengan selesa dan bahagia, terutamanya jika inginkan ketenangan. Menyimpan harta dan merancang agihannya sangat penting pada peringkat ini. Namun begitu, kecelikan dan pendidikan kewangan tidak berakhir apabila anda bersara. Sebaliknya, pada saat ini, pengurusan kewangan dan persiapan bagi semua kemungkinan menjadi lebih penting. Modul pasca-persaraan ini disasarkan kepada mereka yang beralih ke peringkat persaraan atau dalam peringkat awal persaraan.

Belia
Meningkat Dewasa
Dewasa
Meningkat Usia