Carian yang Disyorkan
Klik di sini untuk carian pantas
Diterbitkan pada Aug 15, 2022
Pengurusan Kewangan Untuk Usahawan
Semenjak PKP 1.0 hingga penghujung tahun 2021, ramai usahawan PKS terkesan dengan keuntungan yang semakin berkurang dan ada yang terpaksa menjual harta yang dimilki untuk menampung perbelanjaan atau hutang bagi mengekalkan perniagaan yang sedia ada (Rahman, Noor & Ramli, 2021). Ini ditambah pula dengan bencana banjir yang memberi impak besar kepada hampir 50,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di daerah yang terlibat (Berita Harian, 2021). Bencana tanpa diduga ini telah menyebabkan usahawan mengalami kerugian besar, antaranya premis bersalut lumpur dan barangan jualan rosak sehingga terpaksa dibuang (Sinar Harian, 2021). Oleh yang demikian, setiap usahawan perlu memiliki persediaan awal untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan dalam perniagaan dan juga sebagai dorongan pada masa hadapan.
Persediaan awal yang dimaksudkan ialah “Pendidikan Kewangan”. Seorang usahawan perlu mempunyai ilmu pengetahuan tentang pengurusan kewangan perniagaan yang baik. Kajian daripada Ahmad & Yusop (2021) menyatakan bahawa tahap pengurusan kewangan dalam kalangan PKS berada pada tahap yang sederhana. Hal ini menunjukkan bahawa usahawan PKS memerlukan pendedahan dan kesedaran secara berterusan bagi menguruskan kewangan perniagaan terutamanya untuk mengira bajet dan membuat keputusan kewangan.
Ilmu Pengurusan Kewangan
Bagi memenuhi keperluan tersebut, perkhidmatan pendidikan kewangan Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK), antara lain, telah menyediakan modul “Bijak Wang Bijak Niaga” khusus untuk usahawan mikro dan PKS. Modul ini bertujuan untuk mendedahkan para usahawan kepada kaedah pengurusan kewangan yang baik, praktikal dan bermanfaat bagi perniagaan mereka. Seorang usahawan harus mengetahui sumber kewangannya dan mempunyai pemahaman asas dalam menguruskan kewangan.
Pembelajaran dalam modul ini meliputi kaedah memperoleh pembiayaan, proses pembiayaan, tanggungjawab sebagai peminjam, bagaimana menghadapi masalah kewangan serta tip dan amalan perusahaan mikro. Kesemua ini perlu diaplikasikan oleh para usahawan dalam perniagaan mereka untuk memperoleh kesejahteraan perniagaan yang berterusan. Meningkatkan keupayaan dan kemahiran dalam pengurusan kewangan perniagaan dengan mengaplikasikan tingkah laku kewangan yang baik juga ialah objektif utama modul ini.
Permohonan Pembiayaan
Sebagai seorang usahawan, pemilihan pembiayaan yang betul adalah penting untuk mengekalkan sebuah perniagaan. Dalam modul ini, landskap pembiayaan mikro dan PKS turut diterangkan kepada usahawan seperti:
a) Skim pembiayaan mikro
b) Tabung BNM dan PKS
c) Produk pembiayaan dan jaminan/Perkhidmatan mikro dan PKS
d) Institusi kewangan mikro dan PKS
Landskap ini perlu difahami dan diketahui oleh para usahawan untuk membuat keputusan yang tepat dalam pemilihan pembiayaan bagi perniagaan mereka.
Seterusnya, proses permohonan pembiayaan serta perkara yang diteliti sewaktu permohonan tersebut turut diterangkan dalam modul ini. Para usahawan perlu mengetahui cara dan bagaimana untuk mendapatkan pembiayaan yang sesuai untuk perniagaan mereka. Selain itu, perkara yang berkaitan sekiranya permohonan tersebut ditolak juga diterangkan.
Mengatasi Masalah Kewangan
Peminjam yang baik ialah peminjam yang bertanggungjawab atas pinjaman yang telah dilakukan. Oleh itu, langkah bayaran balik dan tindakan yang perlu dilakukan sekiranya seseorang usahawan itu tidak mampu membayar balik pinjaman turut diterangkan dalam modul ini. Peminjam harus mengetahui tanggungjawab mereka dengan jelas agar tidak berhadapan dengan masalah kewangan pada masa hadapan seperti jatuh bankrap dan seterusnya memberi kesan negatif kepada laporan kredit seperti laporan CCRIS.
Bagi usahawan yang sedang mengalami masalah kewangan, mereka disarankan agar bertenang dan mendapatkan nasihat kewangan dengan segera. Dalam modul ini, turut diterangkan cara untuk mengatasi masalah kewangan yang dihadapi oleh para usahawan. Antaranya adalah dengan memohon Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) atau Small Debt Resolution Scheme (SDRS) yang disediakan oleh AKPK. Skim ini disediakan secara percuma kepada usahawan mikro atau PKS yang memerlukan. Selain itu, meja bantuan PKS AKPK dan pusat interaksi untuk PKS turut diterangkan bagi pengetahuan para usahawan bagi mendapatkan bantuan pengurusan kewangan.
Dalam perniagaan, skim penipuan juga lazim berlaku. Sebagai usahawan, kepekaan terhadap aktiviti skim penipuan ini perlu diperoleh secara ilmiah dan diaplikasikan dalam pengurusan perniagaan. Para usahawan yang menjalani modul ini akan didedahkan dengan beberapa contoh penipuan yang sering kali berlaku dalam sesebuah perniagaan, antaranya, seperti pengambilan deposit dan pengeluaran yang tidak sah. Selain itu, tindakan yang perlu diambil apabila disedari telah ditipu turut diterangkan agar para usahawan mengetahui cara terbaik dalam mengatasi penipuan dalam perniagaan.
Tip dan Amalan Perniagaan
Tip dan amalan baik dalam perniagaan adalah amat penting terutamanya bagi usahawan baru agar dapat memastikan kesejahteraan perniagaan mereka berterusan. Pada akhir modul ini, usahawan akan didedahkan dengan tip dan amalan baik tersebut seperti faktor-faktor yang perlu diambil kira sebelum memulakan perniagaan, faktor-faktor kritikal dan juga faktor-faktor yang boleh menggagalkan perniagaan.
Biar apa pun cabarannya, usahawan yang berjaya tidak malu untuk mendapatkan bantuan bagi mengatasi masalah kewangan yang dihadapi. Mencari ilmu pengetahuan ialah langkah terbaik untuk mempersiapkan diri dalam mengharungi cabaran perniagaan. Usahawan juga perlu bangkit dan berdiri kembali untuk meneruskan perniagaan yang terkesan oleh pandemik dan apa sahaja cabaran yang tidak diduga. Oleh kerana itulah, ilmu pengurusan kewangan adalah amat penting dalam mencapai kejayaan dalam perniagaan.
Untuk mengikuti modul percuma ini, layari laman sesawang: https://power.akpk.org.my.
Bagi usahawan PKS yang memerlukan panduan kewangan, dapatkan khidmat nasihat kewangan AKPK secara PERCUMA dengan melengkapkan dan menghantar borang dalam talian melalui https://services.akpk.org.my untuk dihubungi oleh penasihat kewangan AKPK.
Rujukan
Rahman, R. A., Noor, H. M., & Ramli, A. M. (2021). Cabaran dan Kelangsungan Pengusaha Makanan Kecil dalam Pandemik Covid-19. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 6(12), 13-23.
Ahmad, N. A., & Yusop, N. M. (2021). Tahap Pengurusan Kewangan Di Kalangan Usahawan Perusahaan Kecil Dan Sederhana Di Daerah Ketereh. Jurnal Dunia Perniagaan, 3(3), 25-35.
Berita Harian (2021, Desember 22), 50,000 PMKS Selangor terjejas – SME Corp: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/12/902541/banjir-50000-pmks-selangor-terjejas-sme-corp
Sinar Harian (2021, Disember 25), Peniaga rugi ratusan ribu akibat banjir: https://www.sinarharian.com.my/article/179827/EDISI/Peniaga-rugi-beratus-ribu-akibat-banjir
Berita Terkini
Golongan belia kini menempuh kehidupan yang semakin mencabar. Bila tiba masanya, mereka perlu menguasai masa depan dan kewangan mereka. Pendidikan kewangan bagi peringkat pengajian tinggi tertumpu kepada mereka yang berumur 18 hingga 25 tahun, yang sedang melalui atau menamatkan pengajian tinggi. Kami memupuk kemahiran kewangan yang betul semasa mereka masih muda demi menguatkan asas pengurusan kewangan bagi masa depan. Modul ini tertumpu kepada pengurusan aliran tunai, kepentingan wang simpanan dan belanjawan, perbankan Internet dan mana-mana topik yang sesuai untuk golongan ini.
Golongan Permulaan Pekerjaan terdiri daripada mereka yang berusia di antara 20 hingga 30 tahun, terutamanya mereka yang baru sahaja menceburi alam pekerjaan. Pendidikan kewangan amat penting bagi golongan ini kerana kini mereka lebih perlu berdikari dalam menguruskan kewangan sendiri. Mereka mungkin ingin membeli kereta secepat mungkin sungguhpun hajat ini merupakan kehendak dan bukannya keperluan. Modul Permulaan Pekerjaan kami menumpukan kepada istilah-istilah asas yang perlu difahami dan mengenai kepentingan pinjaman produktif dalam meningkatkan nilai bersih pada masa akan datang. Modul ini turut memupuk budaya mengurus hutang dengan bijaksana. Modul ini juga akan memperkenalkan asas pelaburan dan kepentingan insurans untuk perlindungan.
Modul ini tertumpu kepada mereka yang ingin mula mendirikan rumahtangga. Golongan ini menghampiri detik kehidupan yang penuh dengan pencapaian penting seperti perkahwinan, mendapat cahaya mata dan memiliki rumah baharu. Modul ini direka bagi mereka di antara umur 30 hingga 40 tahun. Tumpuan modul ini ialah ke atas kaedah melangsaikan pinjaman dan mengurangkan hutang supaya mereka dapat menyediakan diri bagi persaraan dan bersedia untuk menghadapi ketidakpastian hidup. Modul ini memperkenalkan jenis-jenis perlindungan yang sedia ada agar mereka memahami jenis-jenis polisi yang bersesuaian dan mampu milik bagi keluarga mereka. Usaha memperbanyakkan pelaburan juga dititikberatkan untuk memberikan pendapatan tambahan selepas bersara.
Perubahan daripada alam pekerjaan kepada persaraan sepenuhnya melibatkan banyak keputusan sukar. Ini termasuk perkara seperti keperluan pendapatan, pengurusan harta persaraan, pencen, program persaraan kebangsaan dan juga sama ada seseorang itu ingin bersara secara berperingkat atau secara mendadak. Sesetengah daripada keputusan yang perlu dibuat pada masa ini adalah kekal dan mempunyai kesan jangkamasa panjang ke atas kesejahteraan ekonomi fasa persaraan. Untuk membuat pilihan yang lebih baik, mereka memerlukan pendidikan kewangan dan pemahaman terperinci tentang pelan persaraan mereka. Oleh itu, modul pra-persaraan kami membimbing mereka supaya lebih bersedia untuk bersara dengan membuat perancangan dan memanfaatkan pelaburan mereka. Mereka juga boleh menyemak semula portfolio mereka di samping meneruskan polisi insurans dan melangsaikan hutang untuk menambahkan lagi simpanan.
Kini, anda sudah bersara. Apakah rancangan kewangan anda? Pada hari ini, golongan pesara mempunyai jangka hayat yang lebih panjang. Oleh itu, golongan ini harus memiliki semua sumber kewangan yang sepatutnya supaya dapat meneruskan kehidupan dengan selesa dan bahagia, terutamanya jika inginkan ketenangan. Menyimpan harta dan merancang agihannya sangat penting pada peringkat ini. Namun begitu, kecelikan dan pendidikan kewangan tidak berakhir apabila anda bersara. Sebaliknya, pada saat ini, pengurusan kewangan dan persiapan bagi semua kemungkinan menjadi lebih penting. Modul pasca-persaraan ini disasarkan kepada mereka yang beralih ke peringkat persaraan atau dalam peringkat awal persaraan.