Langkau ke kandungan utama

Klik di sini untuk carian pantas

Aa

✕
  Individu  
Anda Kini di

Portal Sehenti AKPK

-a
+A

Strategi Perniagaan yang Baik Menjamin Kelangsungan Perniagaan

Diterbitkan pada Jul 31, 2023

Perusahaan bersaiz mikro, kecil, sederhana mahupun koperasi besar, semuanya telah mengharungi tahun 2022 yang mencabar. Namun, di awal tahun 2023, lebih banyak peluang dan nilai tambah yang diperolehi oleh usahawan tempatan. Prestasi ekonomi Malaysia pada tahun 2023 dijangka menunjukkan pertumbuhan yang positif walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang dengan kadar yang sederhana sebanyak 4-5% seperti yang telah diunjurkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia. 

Persekitaran ekonomi Malaysia yang pelbagai dan berdaya saing menjadi kelebihan kepada negara untuk kekal teguh dan kurang terkesan dengan impak pertumbuhan ekonomi global yang perlahan. Untuk mengharungi ekonomi yang mencabar, usahawan-usahawan di Malaysia, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), digalakkan merangka strategi perniagaan yang efektif dan pengurusan kewangan yang cekap. 

Terdapat banyak strategi perniagaan yang diperkenalkan oleh ahli ekonomi dan pakar perniagaan yang boleh diamalkan oleh para usahawan PMKS di Malaysia. Strategi perniagaan yang diatur rapi mampu membantu usahawan menangkis halangan dan cabaran yang mendatang lebih-lebih lagi pada waktu ketidaktentuan ekonomi global. Berikut merupakan strategi atau langkah-langkah yang boleh diambil:

  • Menjaga aliran tunai perniagaan sebaik-baiknya

    Aliran tunai merupakan aspek utama yang perlu dijaga dalam memastikan kelancaran operasi perniagaan. Tetapi, apakah itu aliran tunai? Aliran tunai ialah pergerakan tunai masuk dan keluar daripada akaun perniagaan anda dalam tempoh tertentu.

    Sesebuah perniagaan dikira mempunyai aliran tunai yang baik apabila aliran tunai masuk melebihi aliran tunai keluar. Salah satu cara yang mudah untuk mengenal pasti keadaan aliran tunai anda adalah dengan membandingkan jumlah pembelian aset atau stok secara kredit dengan jumlah jualan yang belum dibayar. 

    Jika jumlah pembelian secara kredit adalah lebih besar, bersiap sedialah dengan perbelanjaan yang lebih banyak daripada pendapatan anda pada bulan berikutnya. Ini akan meningkatkan lagi kemungkinan untuk berlaku masalah aliran tunai.
  • Mempelbagaikan sumber pendapatan perniagaan

    Ketika sudah terlalu banyak persaingan, anda boleh mewujudkan sumber pendapatan baharu bagi perniagaan anda. Jika perniagaan anda sekarang hanya tertumpu kepada penjualan atau penyediaan sesuatu produk/perkhidmatan sahaja, anda boleh mencuba untuk melebarkan aktiviti perniagaan anda ke produk/perkhidmatan yang lain pula. 

    Contohnya, jika perniagaan anda hanya berasaskan penjualan makanan bermasak di gerai tepi jalan, anda boleh mempelbagaikan lagi produk perniagaan seperti minuman dan snek yang siap diambil. Langkah ini juga dapat membantu mengurangkan kebergantungan pada satu hasil jualan yang sahaja sekaligus mengurangkan risiko kerugian.
  • Membina hubungan yang rapat dengan pelanggan sedia ada

    Perniagaan yang berdaya saing tidak hanya mempunyai kadar jualan dan keuntungan yang tinggi, tetapi menumpukan perhatian kepada jalinan hubungan dengan pelanggan. Dengan menjaga pelanggan sedia ada, pelanggan ini boleh menjadi pelanggan berulang. Para usahawan tidak perlu berusaha keras untuk menarik pelanggan baharu semata-mata bagi melariskan jualannya, tetapi perlu juga memberi fokus kepada penyediaan perkhidmatan dan produk yang berkualiti kepada pelanggan sedia ada. 

    Hal ini kerana pelanggan yang sedia ada sudah mempercayai mutu perkhidmatan dan produk yang telah diberikan kepada mereka. Justeru, sesebuah perniagaan tidak perlu berbelanja lebih untuk pengiklanan dan pemasaran terutamanya ketika suasana ekonomi tidak menentu. Perbelanjaan yang bijak dan terkawal mampu menjamin kesihatan kewangan perniagaan. 
     
  • Menukar identiti perniagaan ke arah yang lebih unik

    Ketika menghadapi suasana ekonomi yang agak perlahan, para usahawan perlu mewujudkan alternatif yang membolehkan perniagaan mereka sentiasa mendapat tempat di mata orang ramai. Salah satu cara tersebut adalah dengan mentransformasikan identiti perniagaan ke arah yang berlainan. Dalam masa yang sama, pelanggan sedia ada anda boleh memperoleh nilai tambah dalam transformasi ini. 

    Contoh mudah yang kita boleh ambil adalah seperti perniagaan yang menjual barangan asas keperluan harian. Mana-mana perniagaan yang mampu menjual barangan dapur secara pandu lalu, ini sudah tentu menjadi suatu nilai tambah kepada mereka kerana mempunyai konsep perniagaan barangan asas yang agak unik. 

    Transformasi ini menarik ramai orang kerana memudahkan mereka untuk membeli belah tanpa perlu keluar daripada kenderaan—menjadikan sesebuah perniagaan bertahan lama di era yang sangat dinamik ini.
     
  • Dapatkan pembiayaan perniagaan pada masa yang tepat

    Jangan berlengah dan menunggu sehingga tahap kewangan perniagaan anda tenat baru hendak mendapatkan pembiayaan daripada agensi kewangan yang diiktiraf seperti bank dan sebagainya. Pihak yang menawarkan khidmat pembiayaan seperti bank amnya akan mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi setelah mereka mengenal pasti bahawa pelanggan mereka sedang berhadapan dengan situasi yang mendesak. Mereka juga akan mengetatkan syarat kelayakan bagi pinjaman yang ditawarkan atas faktor risiko yang meningkat. 

    Justeru, usahawan perlu merancang waktu yang sesuai untuk mendapatkan pembiayaan demi kelangsungan perniagaan pada masa hadapan. Seeloknya, berusahalah untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan sewaktu perniagaan masih stabil dan berjalan lancar.


Pendek kata, apa jua strategi perniagaan yang diatur perlu mengambil kira beberapa aspek. Ini termasuk dari segi pelaksanaan dan juga impaknya kepada perniagaan agar perniagaan yang dijalankan mampu mengharungi cabaran yang mendatang. Perkara ini selari dengan kata-kata yang pernah diungkapkan oleh seorang karyawan Amerika Syarikat, William J. Siegel, iaitu, “Manusia tidak merancang untuk gagal, mereka gagal untuk merancang.” 

Oleh itu, para usahawan, khususnya PMKS, sewajarnya perlu lebih teliti dan berfikir panjang ketika hendak membuat keputusan lebih-lebih lagi melibatkan kepentingan perniagaan. Jika tidak, ia akan menimbulkan pelbagai masalah seperti masalah kewangan yang berpanjangan.


Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkara-perkara utama yang sering dibincangkan berkaitan dengan hal ehwal perniagaan, anda boleh berkunjung ke tapak web pendidikan kewangan kami, Power Portal AKPK di pautan https://power.akpk.org.my. Sila daftar dan log masuk buat kali pertama jika anda pengguna baharu. Akses semua bahan pendidikan yang disediakan adalah PERCUMA.


Bagi usahawan PMKS yang memerlukan panduan kewangan, anda juga boleh mendapatkan khidmat nasihat kewangan AKPK secara PERCUMA. Lengkapkan dan hantarkan borang dalam talian melalui https://mybijakkewangan.akpk.org.my untuk anda dihubungi.


Jika anda seorang usahawan PMKS yang mahukan ketenangan minda dalam pengurusan kewangan perniagaan anda, dapatkannya daripada AKPK.

Perhatian! AKPK tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk menawarkan perkhidmatannya dengan apa-apa bayaran. Semua perkhidmatan AKPK kepada individu dan PMKS adalah PERCUMA.

 

Rujukan;

Kenyataan media untuk sorotan statistic ekonomi Malaysia siri 12/2022, Portal Rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (29 Disember 2022)

Economics & MSME News, SME Corp. Malaysia (30 Disember, 2022)

Smart Investor (September, 2022) Apa Itu Aliran Tunai Atau Cash Flow, Dan Kenapa Ianya Penting Dalam Perniagaan?                                           

Economics & MSME News, SME Corp. Malaysia (16 Disember, 2022)

Forbes (16 Mac, 2020) 6 Strategies To Recession-Proof Your Small Business
 

Berita Terkini

✕
Belakang

Pengajian Tinggi


Golongan belia kini menempuh kehidupan yang semakin mencabar. Bila tiba masanya, mereka perlu menguasai masa depan dan kewangan mereka. Pendidikan kewangan bagi peringkat pengajian tinggi tertumpu kepada mereka yang berumur 18 hingga 25 tahun, yang sedang melalui atau menamatkan pengajian tinggi. Kami memupuk kemahiran kewangan yang betul semasa mereka masih muda demi menguatkan asas pengurusan kewangan bagi masa depan. Modul ini tertumpu kepada pengurusan aliran tunai, kepentingan wang simpanan dan belanjawan, perbankan Internet dan mana-mana topik yang sesuai untuk golongan ini.

Permulaan Pekerjaan


Golongan Permulaan Pekerjaan terdiri daripada mereka yang berusia di antara 20 hingga 30 tahun, terutamanya mereka yang baru sahaja menceburi alam pekerjaan. Pendidikan kewangan amat penting bagi golongan ini kerana kini mereka lebih perlu berdikari dalam menguruskan kewangan sendiri. Mereka mungkin ingin membeli kereta secepat mungkin sungguhpun hajat ini merupakan kehendak dan bukannya keperluan. Modul Permulaan Pekerjaan kami menumpukan kepada istilah-istilah asas yang perlu difahami dan mengenai kepentingan pinjaman produktif dalam meningkatkan nilai bersih pada masa akan datang. Modul ini turut memupuk budaya mengurus hutang dengan bijaksana. Modul ini juga akan memperkenalkan asas pelaburan dan kepentingan insurans untuk perlindungan.

Memulakan dan Membesarkan Keluarga

Modul ini tertumpu kepada mereka yang ingin mula mendirikan rumahtangga. Golongan ini menghampiri detik kehidupan yang penuh dengan pencapaian penting seperti perkahwinan, mendapat cahaya mata dan memiliki rumah baharu. Modul ini direka bagi mereka di antara umur 30 hingga 40 tahun. Tumpuan modul ini ialah ke atas kaedah melangsaikan pinjaman dan mengurangkan hutang supaya mereka dapat menyediakan diri bagi persaraan dan bersedia untuk menghadapi ketidakpastian hidup. Modul ini memperkenalkan jenis-jenis perlindungan yang sedia ada agar mereka memahami jenis-jenis polisi yang bersesuaian dan mampu milik bagi keluarga mereka. Usaha memperbanyakkan pelaburan juga dititikberatkan untuk memberikan pendapatan tambahan selepas bersara.

Memulakan dan Membesarkan Keluarga

Perubahan daripada alam pekerjaan kepada persaraan sepenuhnya melibatkan banyak keputusan sukar. Ini termasuk perkara seperti keperluan pendapatan, pengurusan harta persaraan, pencen, program persaraan kebangsaan dan juga sama ada seseorang itu ingin bersara secara berperingkat atau secara mendadak. Sesetengah daripada keputusan yang perlu dibuat pada masa ini adalah kekal dan mempunyai kesan jangkamasa panjang ke atas kesejahteraan ekonomi fasa persaraan. Untuk membuat pilihan yang lebih baik, mereka memerlukan pendidikan kewangan dan pemahaman terperinci tentang pelan persaraan mereka. Oleh itu, modul pra-persaraan kami membimbing mereka supaya lebih bersedia untuk bersara dengan membuat perancangan dan memanfaatkan pelaburan mereka. Mereka juga boleh menyemak semula portfolio mereka di samping meneruskan polisi insurans dan melangsaikan hutang untuk menambahkan lagi simpanan.



Pasca-Persaraan

Kini, anda sudah bersara. Apakah rancangan kewangan anda? Pada hari ini, golongan pesara mempunyai jangka hayat yang lebih panjang. Oleh itu, golongan ini harus memiliki semua sumber kewangan yang sepatutnya supaya dapat meneruskan kehidupan dengan selesa dan bahagia, terutamanya jika inginkan ketenangan. Menyimpan harta dan merancang agihannya sangat penting pada peringkat ini. Namun begitu, kecelikan dan pendidikan kewangan tidak berakhir apabila anda bersara. Sebaliknya, pada saat ini, pengurusan kewangan dan persiapan bagi semua kemungkinan menjadi lebih penting. Modul pasca-persaraan ini disasarkan kepada mereka yang beralih ke peringkat persaraan atau dalam peringkat awal persaraan.

Belia
Meningkat Dewasa
Dewasa
Meningkat Usia