Langkau ke kandungan utama

Klik di sini untuk carian pantas

Aa

✕
  Individu  
Anda Kini di

Portal Sehenti AKPK

-a
+A

Kepentingan Pengurusan Cukai

Diterbitkan pada Feb 14, 2023

Membayar cukai ialah tanggungjawab rakyat sesebuah negara.

Cukai yang dikenakan atas pendapatan mahupun perbelanjaan kita, sebenarnya, merupakan satu instrumen ekonomi yang amat penting bagi negara untuk memperoleh hasil atau pendapatan.

Secara amnya, kutipan cukai adalah bagi tujuan berikut:

  1. Cukai digunakan untuk membiayai perbelanjaan pentadbiran negara termasuk projek-projek pembangunan awam seperti sekolah, universiti, hospital, klinik kesihatan, jalan raya, lapangan terbang dan seumpamanya.
  2. Cukai juga digunakan oleh kerajaan untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya jika berlaku kelembapan ekonomi dengan menyuntik dana kewangan ke dalam ekonomi negara.
  3. Cukai juga merupakan alat pengagihan semula pendapatan dan kekayaan secara tidak langsung kepada mereka yang memerlukannya.
  4. Cukai juga digunakan untuk meringankan beban sara hidup rakyat melalui bantuan subsidi ke atas barangan keperluan seperti minyak dan bahan makanan asas.

Secara ringkasnya, cukai merupakan kunci kepada pentadbiran negara yang berkesan, dan sebagai rakyat, kita harus menunaikan tanggungjawab ini dengan ikhlas.

Lagi pula, kita perlu faham bahawa bayaran cukai sama ada daripada orang perseorangan mahupun peniaga seperti Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) akan kembali dan dinikmati semula oleh rakyat.

Selain itu, terutamanya sebagai pemilik PKS, membayar cukai perniagaan ada kelebihannya, iaitu:

  1. Memberi gambaran yang baik kepada pihak bank.
    • Pembayaran cukai mengikut kadar dan masa yang sepatutnya mencerminkan bahawa anda seorang yang berdisiplin dalam melaksanakan tanggungjawab anda,
    • Sikap ini membuka peluang yang cerah untuk memperoleh pembiayaan/pinjaman daripada institusi kewangan kerana ia menunjukkan anda mampu untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik sebagai peminjam.

Namun, sebagai pemilik perniagaan yang bijak, kita sebenarnya boleh merancang percukaian perniagaan secara strategik untuk membayar cukai seminimum yang mungkin berlandaskan undang-undang.

Bagi tujuan ini, anda memerlukan pengurusan akaun perniagaan yang lengkap.

 

Mengapa pengurusan akaun penting untuk percukaian?

 

Ramai yang tidak menyedari keperluan mempunyai akaun yang lengkap. Proses persediaan akaun terdahulu yang tidak dikemaskinikan dengan baik bukan mudah. Ia memakan masa kerana transaksi yang sudah lepas perlu disemak kerana turut memainkan peranan bagi mengesan kesilapan-kesilapan yang kerap berulang dan merugikan peniaga. Tanpa pengurusan akaun yang betul, peniaga bukan sahaja berisiko membuat keputusan yang salah, malah berdepan dengan risiko dikenakan kompaun oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melalui siasatan audit.

Antara kelebihan menyediakan akaun perniagaan dengan baik dan tersusun adalah:

  1. Mengenal pasti kedudukan kewangan syarikat yang sebenar untuk mengelakkan perbelanjaan yang tidak sesuai pada waktu tertentu serta masalah aliran tunai. Tanpa baki tunai dalam bank yang mencukupi, transaksi bank untuk menampung perbelanjaan yang dibuat akan tergendala. Oleh itu, pemantauan akaun yang kerap adalah penting untuk mengelakkan perkara seperti ini berlaku.
  2. Membuat analisa dan perancangan akaun yang lengkap seperti imbangan duga, penyata untung dan rugi serta penyata aliran tunai. Melalui penyediaan penyata kewangan yang lengkap, anda boleh menganalisa dan mengetahui kewangan syarikat anda—sama ada untung atau sebaliknya.

 Antara analisa yang boleh dibuat dengan penyata kewangan yang lengkap ialah:

  1.  Nisbah kecairan: Nisbah ini merujuk kepada keupayaan syarikat untuk memenuhi tuntutan kematangan jangka pendek atau obligasi. Ia terdiri daripada beberapa perkara seperti modal kerja bersih, nisbah semasa (current ratio) dan nisbah cepat (quick ratio).
     
  2. Nisbah pengurusan aset: Nisbah ini merujuk kepada kecekapan syarikat untuk menggunakan aset dan berapa cepat akaun tertentu boleh ditukarkan kepada jualan dan tunai. Ia sangat penting untuk memastikan aset yang berada dalam syarikat seperti penghutang, inventori dan aset tetap mampu ditukarkan kepada jualan dan tunai.
     
  3. Nisbah keberuntungan: Nisbah ini merujuk kepada keberkesanan syarikat dalam menjana pulangan daripada pelaburan dan jualan. Contohnya, margin keuntungan kasar, margin keuntungan bersih, margin keuntungan operasi, pulangan daripada aset dan pulangan daripada ekuiti.
     
  4. Nisbah nilai pasaran: Nisbah ini merujuk kepada kebolehan syarikat untuk mewujudkan nilai pasaran melebihi kos pelaburan. Kecairan, pengurusan aset dan nisbah leveraj mengukur risiko syarikat tersebut manakala nisbah keberuntungan mengukur pulangan syarikat.

Syarikat mempunyai pilihan dalam memastikan jumlah cukai yang dibayar adalah tepat berdasarkan keuntungan yang sebenar bagi tahun semasa. Sekiranya syarikat menyasarkan cukai yang sepatutnya bagi tahun semasa, syarikat perlu memantau perbelanjaan dan pendapatan yang dikenakan cukai. Perkara ini hanya boleh dilakukan sekiranya syarikat sentiasa memantau akaun, corak aliran pendapatan dan perbelanjaan syarikat.

 

Rujukan:

Konsultan Cukai;

https://www.amacc.com.my/

Memahami Percukaian;

https://www.smeinfo.com.my/menguruskan-kewangan-perniagaan-anda/memahami-percukaian/

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia;

https://www.hasil.gov.my/en/eduzone/tax-publication/articles/a

✕
Belakang

Pengajian Tinggi


Golongan belia kini menempuh kehidupan yang semakin mencabar. Bila tiba masanya, mereka perlu menguasai masa depan dan kewangan mereka. Pendidikan kewangan bagi peringkat pengajian tinggi tertumpu kepada mereka yang berumur 18 hingga 25 tahun, yang sedang melalui atau menamatkan pengajian tinggi. Kami memupuk kemahiran kewangan yang betul semasa mereka masih muda demi menguatkan asas pengurusan kewangan bagi masa depan. Modul ini tertumpu kepada pengurusan aliran tunai, kepentingan wang simpanan dan belanjawan, perbankan Internet dan mana-mana topik yang sesuai untuk golongan ini.

Permulaan Pekerjaan


Golongan Permulaan Pekerjaan terdiri daripada mereka yang berusia di antara 20 hingga 30 tahun, terutamanya mereka yang baru sahaja menceburi alam pekerjaan. Pendidikan kewangan amat penting bagi golongan ini kerana kini mereka lebih perlu berdikari dalam menguruskan kewangan sendiri. Mereka mungkin ingin membeli kereta secepat mungkin sungguhpun hajat ini merupakan kehendak dan bukannya keperluan. Modul Permulaan Pekerjaan kami menumpukan kepada istilah-istilah asas yang perlu difahami dan mengenai kepentingan pinjaman produktif dalam meningkatkan nilai bersih pada masa akan datang. Modul ini turut memupuk budaya mengurus hutang dengan bijaksana. Modul ini juga akan memperkenalkan asas pelaburan dan kepentingan insurans untuk perlindungan.

Memulakan dan Membesarkan Keluarga

Modul ini tertumpu kepada mereka yang ingin mula mendirikan rumahtangga. Golongan ini menghampiri detik kehidupan yang penuh dengan pencapaian penting seperti perkahwinan, mendapat cahaya mata dan memiliki rumah baharu. Modul ini direka bagi mereka di antara umur 30 hingga 40 tahun. Tumpuan modul ini ialah ke atas kaedah melangsaikan pinjaman dan mengurangkan hutang supaya mereka dapat menyediakan diri bagi persaraan dan bersedia untuk menghadapi ketidakpastian hidup. Modul ini memperkenalkan jenis-jenis perlindungan yang sedia ada agar mereka memahami jenis-jenis polisi yang bersesuaian dan mampu milik bagi keluarga mereka. Usaha memperbanyakkan pelaburan juga dititikberatkan untuk memberikan pendapatan tambahan selepas bersara.

Memulakan dan Membesarkan Keluarga

Perubahan daripada alam pekerjaan kepada persaraan sepenuhnya melibatkan banyak keputusan sukar. Ini termasuk perkara seperti keperluan pendapatan, pengurusan harta persaraan, pencen, program persaraan kebangsaan dan juga sama ada seseorang itu ingin bersara secara berperingkat atau secara mendadak. Sesetengah daripada keputusan yang perlu dibuat pada masa ini adalah kekal dan mempunyai kesan jangkamasa panjang ke atas kesejahteraan ekonomi fasa persaraan. Untuk membuat pilihan yang lebih baik, mereka memerlukan pendidikan kewangan dan pemahaman terperinci tentang pelan persaraan mereka. Oleh itu, modul pra-persaraan kami membimbing mereka supaya lebih bersedia untuk bersara dengan membuat perancangan dan memanfaatkan pelaburan mereka. Mereka juga boleh menyemak semula portfolio mereka di samping meneruskan polisi insurans dan melangsaikan hutang untuk menambahkan lagi simpanan.



Pasca-Persaraan

Kini, anda sudah bersara. Apakah rancangan kewangan anda? Pada hari ini, golongan pesara mempunyai jangka hayat yang lebih panjang. Oleh itu, golongan ini harus memiliki semua sumber kewangan yang sepatutnya supaya dapat meneruskan kehidupan dengan selesa dan bahagia, terutamanya jika inginkan ketenangan. Menyimpan harta dan merancang agihannya sangat penting pada peringkat ini. Namun begitu, kecelikan dan pendidikan kewangan tidak berakhir apabila anda bersara. Sebaliknya, pada saat ini, pengurusan kewangan dan persiapan bagi semua kemungkinan menjadi lebih penting. Modul pasca-persaraan ini disasarkan kepada mereka yang beralih ke peringkat persaraan atau dalam peringkat awal persaraan.

Belia
Meningkat Dewasa
Dewasa
Meningkat Usia